Rabu, 15 Januari 2014

PENDUDUK KAMPUNG INANAM LAUT MERUNGUT SUNGAI BERBAU


Inanam: Penduduk Kampung Inanam Laut merungut sungai mereka sangat berbau. Mereka  menyifatkan sungai tersebut  telah tercemar.
Penduduk yang menetap di situ menyuara pencemaran sungai telah lama berlaku kira-kira berpuluh-puluh tahun yang lalu.
Menurut penduduk kampung, Hassan Saat, 45,  punca utama pencemaran sungai berlaku disebabkan pembuangan sampah-sarap oleh penduduk setempat.
Tambahnya lagi, selain penduduk setempat, pendatang asing tanpa izin(PATI) yang menetap di situ juga telah menimbulkan masalah. Mereka ini telah membuang sampah-sarap ke dalam sungai sehingga menyebabkan sungai berbau dan busuk.
Jamol Tomas,54, juga penduduk di situ, mendakwa pencemaran tersebut sememangnya berpunca daripada sikap PATI yang tidak bertanggungjawab membuang sisa-sisa dan sampah-sarap ke dalam sungai.
“Memang kami penduduk di sini pernah bersuara menegur mereka, namun teguran tersebut seolah-olah tidak penting kepada mereka”, kata Jamol ketika ditemui.
Menurut ketua kampung Inanam Laut, Matlan Alidan, 61, masalah pencemaran sungai di situ telah lama berlaku dan tidak diendahkan oleh penduduk.
“Saya sebagai ketua kampung melihat sendiri gelagat dan sikap membuang sampah sesuka hati di situ (sungai). Jika program seperti gotong-royong diadakan, hanya segelintir sahaja yang ingin bekerjasama. Masalah tersebut tidak akan selesai jika mereka (penduduk) tidak memandang serius perkara itu,” kata Matlan ketika diemui di rumahnya.
“Saya sendiri telah mengadakan pelbagai program dan kempen serta mengedarkan risalah dari rumah ke rumah, tetapi sia-sia. Usaha itu langsung tidak menampakkan hasil yang diharapkan”, jelas Matlan lagi.
Apabila ditanya tentang punca pencemaran sungai yang disebabkan oleh pembuangan sampah oleh PATI, Matlan berpendapat PATI tidak sepatut dipersalahkan secara keseluruhan.
“Kita tidak boleh menyalahkan PATI sahaja kerana mereka tidak didedahkan dengan kempen kebersihan. Semua pihak, terutamanya penduduk kampung seharusnya memainkan peranan masing-masing untuk menjaga sungai ini daripada tercemar,” tegas Matlan lagi.
Menurut Alinah Ali, 39, pencemaran tersebut juga disebabkan oleh sisa kilang yang berdekatan. Sisa kilang tersebut dipercayai disalurkan ke sungai sehingga menyebabkan sungai tersebut berbau dan tersumbat.
“Aduan telah dibuat kepada pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan pemantauan telah pun dibuat. Tetapi saya rasa pemantauan tersebut tidak mencukupi dan perkara ini perlu diambil serius”, katanya ketika ditemu bual.
Tambah Alinah lagi, pihak berkuasa haruslah mengenakan tindakan yang keras kepada mana-mana individu ataupun organisasi yang melakukan perbuatan yang menyebabkan pencemaran berlaku.
“Sepatutnya DBKK dan Jabatan Alam Sekitar bergabung dan mengambil tindakan yang berat seperti denda dan penjara kepada mereka yang membuang sampah kedalam sungai.

Selain itu buat Jabatan Alam Sekitar perlu buat satu program bersama penduduk kampung iaitu program gotong-royong membersihkan sungai,” tambahnya.

By: Mohamad Sarifudin B Othman
Bc12160212

Tiada ulasan:

Catat Ulasan