PAKAIAN TRADISIONAL SUKU KAUM
KIMARAGANG
Suku
kaum dusun Kimaragang merupakan penduduk asal kebanyakan kampung di kota Marudu
khususnya di daerah Tandek.Suku kaum Kimaragang telah wujud sebelum Belanda dan
Portugis datang ke Borneo lagi. Dari sejarah kewujudan pakaian suku kaum ini
dapatlah diterangkan melalui cerita yang disampaikan seorang informen iaitu
encik Jubin Umbang yang merupakan mantan ketua kampung Tonding Tandek, Kota
Marudu, bekerja sebagai petani dan berumur 62 tahun. Menurut beliau, pada
asalnya pakaian suku kaum Kimaragang diperbuat daripada buluh dan pelepah
pinang.Bagi kaum leleki mereka menggunakan buluh, manakala bagi kaum perempuan
pula menggunakan pelepah pinang yang diukur mengikut saiz badan
masing-masing.Kemudian nenek moyang mereka bertukar fikiran untuk menggantikan
buluh kepada kulit kayu.Perubahan ini berlaku apabila ada dari antara pemuda
dalam kalangan kaum mereka menumbangkan sebatang kayu dan membuka kulit kayu
tersebut. Pemuda itu membawa kulit kayu tersebut di sungai dan kemudian
dipukul-pukul.Pada masa yang sama beliau terfikir untuk menjadikan kulit kayu
tersebut sebagai pakaian,lalu beliau pun menyukat kulit kayu tersebut membentuk
pakaian mengikut saiznya sendiri,dan beliau melihat kulit itu amat sesuai dan
membawa pakaian itu balik dan dapat dilihat oleh masyarakat sekitar.Pada
keesokan harinya,penduduk sekitar beramai-ramai mengambil kulit kayu dan
akhirnya menghasilkan banyak pakaian daripada kulit kayu tersebut.Baju tersebut
dinamai sebagai Pinakang.Walau bagaimanapun,baju tersebut mengalami sedikit
masalah pada musim hujan.Hal ini demikian kerana,kulit kayu tersebut akan
mengembang dan menjadi berat. Sejarah ini diceritakan oleh generasi yang
terdahulu daripada encik Jubin Umbang dan disampaikan melalui satu generasi ke
generasi yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan